Skip to main content
Berita TempatanSabah

JAKIM Nabawan Redah 120km Jayakan Korban Kg Saliku

By 29 Mei 20265 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho Nabawan)

NABAWAN, 29 Mei (MalaysiaAktif)– Laluan sejauh kira-kira 120 kilometer yang mengambil masa hampir tiga setengah jam dari pekan Nabawan menjadi permulaan kepada misi kebajikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Nabawan untuk menyantuni penduduk Kampung Saliku.

Di sebalik cabaran geografi dan keadaan jalan yang sukar, usaha menjayakan ibadah korban di kawasan pedalaman itu tetap diteruskan dengan kerjasama Pusat Zakat Keningau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta sukarelawan pelbagai agensi.

Pegawai JAKIM Nabawan, Awang Malik Baki berkata pelaksanaan ibadah korban di kawasan tersebut menuntut komitmen tinggi khususnya dari aspek logistik serta ketahanan berdepan keadaan jalan dan cuaca yang tidak menentu.

“Walaupun berdepan perjalanan jauh dan laluan mencabar, semua pihak kekal komited memastikan ibadah korban ini dapat dilaksanakan bersama penduduk kampung dengan penuh keikhlasan dan semangat muafakat.

“Cabaran utama melibatkan proses membawa masuk lembu korban melalui laluan sukar yang turut dipengaruhi keadaan cuaca, sekali gus meningkatkan risiko serta kos logistik.

“Alhamdulillah, walaupun hanya seekor lembu berjaya dibawa masuk, ia tetap mencukupi untuk diagihkan kepada masyarakat Islam di sini,” katanya ketika ditemui di Kampung Saliku, semalam.

Menurut Awang, selain memenuhi tuntutan ibadah program tersebut memperkukuh hubungan sosial serta menyemai nilai kebersamaan dalam kalangan komuniti luar bandar.

“Pada masa sama, penduduk kampung juga menerima manfaat apabila Pusat Zakat Keningau menyumbangkan baucar makanan bernilai RM200 kepada setiap ketua isi rumah dan asnaf yang layak,” ujarnya.

Beliau berkata usaha seumpama itu akan diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan pedalaman pada masa akan datang bagi memastikan kebajikan masyarakat terus diberi perhatian.

Sementara itu, wakil Ketua Kampung Saliku, Kadir Mungkias Abdullah berkata kehadiran pelbagai agensi ke kampung berkenaan mencerminkan keprihatinan terhadap masyarakat pedalaman khususnya saudara baharu yang pertama kali menyaksikan pelaksanaan ibadah korban.

“Amal jariah seperti ini amat kami hargai. Kesanggupan rombongan datang dari jauh semata-mata untuk bersama penduduk kampung benar-benar menyentuh hati kami,” jelasnya.

Program berkenaan juga disertai Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pasukan Tentera Indonesia YONKAV13/SL dari Pos Gabungan Kem Sri Saliku Malaysia-Indonesia, Jabatan Penerangan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Nabawan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda