
Laporan/Foto: Zamlan Ramle (Sipitang)
SIPITANG, 29 Mei (MalaysiaAktif)– Seawal pagi hari raya kedua Aidiladha, perkarangan Masjid Haji Abdullah Kampung Lumut mula dipenuhi penduduk kampung bagi menjayakan Program Korban melibatkan 70 peserta.
Pengarah Program Korban, Mohd Pauzi Aliman berkata, selain memenuhi tuntutan ibadah, program berkenaan mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
“Sambutan tahun ini juga menunjukkan peningkatan penyertaan yang mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ibadah korban serta semangat bekerjasama dalam komuniti.
“Alhamdulillah, 10 ekor kerbau berjaya dikorbankan dengan penglibatan 70 peserta. Semua urusan berjalan lancar hasil kerjasama jawatankuasa masjid, sukarelawan dan penduduk kampung yang hadir membantu sejak awal pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi program, semalam.
Beliau yang juga Bendahari Program berkata, persiapan dilakukan beberapa minggu lebih awal termasuk penyelarasan peserta, penyediaan lokasi penyembelihan dan pembahagian tugas kepada sukarelawan.
“Daging korban akan diagihkan kepada peserta, penduduk kampung dan golongan asnaf terutama jemaah dan qariah setempat.
“Kita mahu semua lapisan masyarakat dapat sama-sama merasai keberkatan Hari Raya Aidiladha,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Pekan Sipitang, Nordin Ismail berpendapat program korban perlu diteruskan kerana mampu memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk kampung.
“Program seperti ini memang dinanti-nantikan setiap kali Aidiladha kerana selain melaksanakan ibadah, ia turut mengeratkan hubungan sesama penduduk kampung serta mendidik generasi muda mengenai nilai pengorbanan dan semangat tolong-menolong,” ujarnya.
Seorang peserta korban, Muaz Humaizi pula bersyukur dapat menyertai ibadah korban bersama ahli keluarganya kerana ibadah berkenaan memberi peluang untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
-RJ-





