Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kempen Internet Selamat Didik Komuniti Orang Asli Kampung Bukit Asu

By 23 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)

PENGKALAN HULU, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Penduduk komuniti Orang Asli di Kampung Bukit Asu menerima pendedahan mengenai penggunaan internet secara selamat menerusi penganjuran Kempen Internet Selamat yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan interaktif.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Ibu Pejabat, Bukhari Yahya, berkata program yang disertai oleh penduduk pelbagai peringkat umur itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penggunaan internet secara berhemah khususnya dalam menghadapi cabaran dunia digital masa kini.

“Menerusi kempen ini diharap dapat membantu komuniti setempat lebih peka terhadap ancaman siber selain menggalakkan penggunaan internet bagi tujuan pembelajaran, komunikasi dan pembangunan komuniti.

“Penggunaan internet yang betul mampu memberi banyak manfaat kepada masyarakat luar bandar termasuk komuniti Orang Asli, namun aspek keselamatan perlu diberi perhatian agar mereka tidak mudah terdedah kepada risiko jenayah siber.

“Dalam era digital kini, pendedahan awal kepada keselamatan siber amat penting supaya semua pengguna dapat menjadi pengguna internet yang bijak dan bertanggungjawab serta terselamat daripada menjadi mangsa jenayah siber,” katanya ketika berucap di Program Kempen Internet Selamat di Kampung Bukit Asu, di sini semalam.

Kempen ini juga menjadi platform mengeratkan hubungan antara jabatan luar khususnya SKMM dengan masyarakat Orang Asli melalui pendekatan santai dan mesra komuniti.

-AA-

Tinggalkan komen anda