Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Kampung Kuala Mengkuang Berpotensi Jadi Destinasi Eko-Pelancongan

By 23 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Nor Haliza Ridzuan (Pulau Pinang)

BUKIT MERTAJAM, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Kampung Kuala Mengkuang berpotensi menjadi destinasi eko-pelancongan dan kampung contoh terbaik di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI menerusi pelbagai projek pembangunan dan pemerkasaan komuniti yang dilaksanakan di kawasan itu.

Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) Tan Sri Khalid Ramli, berkata pelbagai program dan projek telah dilaksanakan sejak kampung tersebut dijadikan Kampung Angkat MADANI di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Menurut beliau, antara fokus utama pembangunan termasuk menaiktaraf prasarana kampung bagi menjadikannya sebuah destinasi eko-pelancongan yang menarik di samping membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat melalui penternakan dan pertanian.

Tambahnya, MPBPP akan terus menyelaras kerjasama bersama pelbagai agensi termasuk ICU JPM dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) bagi memastikan pembangunan kampung tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kita bukan sahaja memberi tumpuan kepada projek fizikal seperti projek menaik taraf tebing sungai dan jalan, pemasangan lampu solar, membina dewan dan taska serta menaiktaraf masjid malah turut menekankan usaha meningkatkan taraf ekonomi penduduk melalui pelbagai inisiatif termasuk gastronomi tradisional,” katanya ketika ditemui pada Program TYT Kuala Mengkuang Eco Ride 2026, di sini pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Kariah Masjid Kuala Mengkuang Mohammad Chat, berkata pihak kariah berbesar hati dan bersyukur dengan pemilihan kampung itu sebagai lokasi program berkenaan.

“Penduduk kampung menerima pelbagai manfaat hasil pelaksanaan program ini antaranya sumbangan bakul rezeki, bantuan membaik pulih rumah anak kariah serta kerja-kerja menaik taraf infrastruktur jalan kampung,” katanya.

Program kayuhan santai bersama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang anjuran ICU JPM yang melibatkan laluan sejauh 14 kilometer mendapat sambutan menggalakkan daripada agensi kerajaan, swasta serta penduduk setempat, selain turut singgah di tujuh lokasi tumpuan termasuk lokasi simbolik penanaman pokok, arca dan mural jambatan kereta api Kuala Mengkuang.

Program tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib di perkarangan Masjid Ittifaqiyah Kuala Mengkuang.

Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dan isteri Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

-AA-

Tinggalkan komen anda