
Laporan/foto: Sharil Alias/MKhairul Nizam (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 15 Mei (MalaysiAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi memperkasakan gerakan dan pembangunan anak muda di seluruh negara.
Beliau berkata suntikan dana tersebut adalah sebagai komitmen dan penghormatan Kerajaan MADANI kepada anak muda yang disifatkannya sebagai lambang semangat, idealisme dan kekuatan dalam mencorakkan masa depan Malaysia.
“Majlis Belia Malaysia, mempunyai peranan selaras kegiatan belia, menggerakkan peserta-peserta belia, di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan. Jadi tahun ini, baiklah. Saya setuju tambah jadi 5 juta keseluruhannya,” katanya.
Beliau mengumumkan perkara tersebut sewaktu berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di d’ Tempat Sendayan Seremban, di sini, hari ini.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar berkata golongan belia pada masa kini harus sentiasa dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran, nilai, serta keyakinan yang tinggi untuk mendepani pelbagai cabaran dunia yang semakin pantas berubah dan kompleks.
“Saya percaya generasi muda hari ini memiliki keberanian untuk berfikir secara kritis, menyuarakan pandangan dengan matang serta membawa pembaharuan demi kemajuan negara,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus komited memperluas peluang kepada golongan muda terutamanya dalam bidang pendidikan, latihan, pekerjaan, dan keusahawanan.
Ini termasuklah langkah proaktif kerajaan dalam meneliti dan memperkukuh sokongan jaringan keselamatan kepada pekerja sektor ekonomi gig serta sokongan dana buat barisan usahawan muda.
-FN





