Skip to main content
Berita TempatanSabah

21 Peserta Sertai Kursus Durian, Potensi Jana Ekonomi Sipitang

By 16 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan / Foto: Suhaime Sahirul / Mc Denver L Toni(Sipitang)

SIPITANG, 15 Mei (MalaysiaAktif)-Tanaman durian berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu penduduk luar bandar apabila 21 individu menyertai Kursus Penanaman Durian.

Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia, Datuk Matbali Musah berkata kursus itu meningkatkan tahap kemahiran dan pengetahuan masyarakat berkaitan tatacara pengurusan agronomi durian.

“Durian mempunyai nilai komersial tinggi dan boleh dikembangkan sebagai sumber pendapatan baharu jika diusahakan secara serius serta menggunakan kaedah yang betul.

“Penduduk perlu merebut peluang ini kerana sektor pertanian khususnya tanaman buah-buahan premium mempunyai potensi besar untuk berkembang,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Penanaman Durian, pada Khamis.

Sementara itu, peserta kursus, Kompulin Somboton, 68, berkata program itu memberi pendedahan baharu berkaitan teknik penjagaan tanaman bagi memastikan hasil durian lebih berkualiti.

“Ilmu diperoleh akan dimanfaatkan untuk menambah baik kebun durian selain membantu menjana pendapatan sampingan keluarga.

Sependapat dengan beliau, Chalvy Beatrice Baradus, 45, berkata peluang mengikuti kursus itu memberi keyakinan kepadanya untuk mengusahakan tanaman durian secara lebih teratur pada masa depan.

“Saya berharap ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan sebaiknya kerana tanaman durian mempunyai potensi membantu meningkatkan ekonomi keluarga,” ujarnya.

Kursus yang dilaksanakan di Pusat Kemahiran Masyarakat Sipitang itu dianjurkan Pejabat Pertanian Daerah Sipitang dengan kerjasama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Pejabat Daerah Sipitang.

-RJ-

Tinggalkan komen anda