
Laporan/foto: Akma Laily Hamdan (Maran)
KUANTAN, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh komitmen dalam membela kebajikan rakyat melalui pelaksanaan Program Jelajah Semaian Kasih Komuniti FELDA yang diadakan di Felda Lepar Hilir 1, 4 dan Taman Saujana, di sini semalam.

Senator Hajah Norhasmimi Abdul Ghani (dua dari kiri) menziarahi salah seorang penerima sumbangan bagi Kategori OKU
Program yang menyantuni golongan keluarga rentan itu merupakan sebahagian daripada pengisian Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang 2020-2026 , yang diselaraskan oleh Unit Pembangunan Wanita Negeri Pahang.
Senator Hajah Norhasmimi Abdul Ghani, berkata program yang kini memasuki siri ketujuh itu bertujuan untuk menyelami masalah penduduk secara terus di samping mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan oleh setiap penerima.
“Ini merupakan tahun terakhir pelaksanaannya bagi kluster kekeluargaan. Selain komuniti FELDA, jelajah ini turut melibatkan komuniti lain termasuk Orang Asli dan masyarakat India,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan yang turut mendapat kerjasama Ahli Parlimen Paya Besar.
Dalam program tersebut, seramai 100 orang penerima telah disantuni oleh lebih 50 sukarelawan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa (AJK), ketua blok serta belia FELDA.
“Setiap penerima sumbangan membawa pulang bakul makanan serta wang tunai berjumlah RM100. Menariknya, kriteria penerima kali ini diperluas. Selain fokus kepada pesakit kronik dan Orang Kurang Upaya (OKU), sumbangan turut diberikan kepada bakal pengantin serta pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 5A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025,” katanya.

Antara penerima sumbangan bagi kategori pesakit kronik
Salah seorang penerima, Sierhana Abdullah, 18, yang memperoleh 6A dalam SPM 2025, melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan dan bantuan yang diberikan.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak membantu persediaan saya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi nanti,” ujarnya.
Sebelum ini, siri jelajah yang sama telah berjaya dilaksanakan di beberapa lokasi lain termasuk FELDA Jengka 12, 21, 22, FELDA Bukit Damar, FELDA Kampung Awah, dan FELDA Kumai.
Langkah proaktif kerajaan negeri ini diharapkan dapat memberi kelegaan dan meringankan beban kewangan keluarga yang memerlukan di kawasan berkenaan.
-AA-





