
Laporan/foto: Mohammad Hafizee/Muhammad Azrul Hafiz (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Agenda perpaduan tidak boleh dipisahkan daripada usaha memperkukuh identiti nasional, kata Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata perkara itu perlu berasaskan kefahaman sejarah dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya.
“Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, perpaduan merupakan kekuatan utama negara yang perlu dipelihara dan diperkasakan merentas generasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Zon Tengah 2026 dan Program Bermalam di Muzium bersama Belia bertempat di Dataran Muzium Negara, di sini semalam.
Sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 esok, beliau turut mengumumkan pemberian kemasukan percuma kepada seluruh warganegara Malaysia ke 22 muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia.
Inisiatif itu katanya bertujuan menarik minat masyarakat khususnya generasi muda untuk mendekati muzium sebagai institusi ilmu, ruang interaksi sosial serta medium pembinaan jati diri nasional.
“Sambutan tahun ini membawa tema Museums Uniting a Divided World atau Muzium sebagai Wadah Penyatuan Dunia yang Terpisah yang mencerminkan peranan muzium dalam memupuk persefahaman dan perpaduan masyarakat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kemuncak Sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan dijadual berlangsung di Johor pada 23 hingga 30 Jun depan dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor.
Dalam pada itu, Aaron berkata Kerajaan MADANI komited meremajakan institusi muzium menerusi dua inisiatif utama iaitu Geran Padanan Muzium di bawah Belanjawan 2026 serta Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM).
Katanya, Geran Padanan Muzium diperkenalkan buat julung kali bagi memperkasa transformasi sektor permuziuman melalui projek berteraskan rakyat meliputi pembangunan infrastruktur, pendigitalan dan ruang pendidikan.
“Cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia pula telah dipersetujui secara dasar oleh Jemaah Menteri pada 29 April 2026 bagi mengawal selia aktiviti permuziuman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.
-AA-





