
Laporan/foto: Mohammad Hafizee (Kuala Lumpur)/Kementerian Ekonomi
KUALA LUMPUR, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Kementerian Ekonomi dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjalin kerjasama strategik menerusi Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) bagi memperkasa taraf ekonomi golongan asnaf serta usahawan kecil di kawasan Wilayah Persekutuan.
Majlis perasmian yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu disempurnakan bersama oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Melalui memorandum kerjasama itu, struktur bantuan yang ditawarkan merangkumi peranan khusus daripada kedua-dua agensi kerajaan tersebut di mana Kementerian Ekonomi menyediakan mesin layan diri (vending machine) makanan serta menampung subsidi sewaan penuh tapak dan utiliti selama 24 bulan.
Manakala, MAIWP pula akan menyediakan bantuan modal permulaan kepada peserta usahawan asnaf yang layak berdasarkan kriteria dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurut Zulkifli, model sinergi itu mencerminkan pendekatan Whole-of-Government dalam membangunkan sosioekonomi rakyat secara menyeluruh.
“MAIWP mahu melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan, bukannya sekadar bergantung kepada penyaluran bantuan zakat secara rutin,” katanya.
Sehingga 5 Mei lepas, program IPR-INSAN telah memasang 1,125 unit mesin layan diri di lokasi strategik dengan sebahagian peserta mencatat jualan bulanan antara RM4,000 hingga RM11,000, sekali gus merekodkan nilai jualan keseluruhan mencecah RM20.46 juta setakat Mac lalu.
Bagi memastikan manfaatnya dapat diteruskan, Kementerian Ekonomi bercadang memohon pelanjutan program IPR-INSAN selama 24 bulan lagi kepada Kementerian Kewangan bagi membantu lebih ramai isi rumah B40, khususnya di kawasan bandar meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.
Sebagai rekod, sehingga kelmarin, MAIWP telah mengagihkan dana zakat berjumlah RM449,839,081 yang meliputi 38 skim bantuan kelompok, program pembangunan asnaf, dan institusi pendidikan di bawah seliaannya.
-AA-





