
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Penemuan sebuah perahu lama yang dipercayai berusia ratusan tahun di Sungai Jengor, Bukit Kechik, di sini menarik perhatian masyarakat tempatan dan pengunjung dari luar daerah.
Perahu berkenaan dianggap sebagai khazanah bernilai tinggi yang mencerminkan kehidupan dan teknologi pengangkutan masyarakat terdahulu.
Mohd Noor Hassan, 64, penduduk Kampung Bukit Kechik yang menjumpai perahu tersebut, berkata ketika sedang menjala ikan di sungai berkenaan pada awalnya, beliau menyangka jaringnya tersangkut ikan besar, namun terkejut apabila mendapati tali jala tegang dan tidak dapat ditarik.
“Apabila saya terjun ke dalam sungai, saya terasa sesuatu yang pelik dan rupa-rupanya sebuah perahu lama tertanam di dasar sungai,” katanya ketika ditemui.
Menurut beliau, keadaan air sungai yang cetek dan deras akibat musim kemarau memudahkan proses mengangkat perahu berkenaan ke tebing sungai dengan bantuan beberapa penduduk lain.
Katanya lagi, antara keunikan perahu itu ialah bentuk binaannya yang masih kukuh, penggunaan kayu berkualiti serta paku tembaga yang masih jelas kelihatan walaupun telah lama berada di dalam air.
Rakan beliau, Muhamad Saidi Nasir, 46, berkata penemuan tersebut merupakan pengalaman yang jarang ditemui dan amat berharga.
“Sepanjang hidup saya, inilah kali pertama melihat perahu lama seperti ini secara dekat,” katanya.
Perahu berkenaan kini dirancang untuk disimpan sebagai bahan sejarah bagi tatapan generasi akan datang, selain menjadi daya tarikan warisan tempatan.
-RI





