Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kopi Berdey Bukti Minat Mampu Jadi Sumber Rezeki

By 11 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Zulaikha Mazlan (Jeli)

JELI, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Sebuah perniagaan kopi berskala kecil di Kampung Berdang, di sini menjadi bukti minat mampu mendatangkan sumber rezeki yang lumayan jika dilakukan secara serius.

Pemilik Kopi Berdey, Aishatul Hafiza Che Hassin, 30, graduan Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Pemakanan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), berkata perniagaan itu bermula daripada minatnya menyediakan kopi sendiri di rumah sebelum berkembang menjadi sebuah kedai.

Menurutnya, Kopi Berdey berjaya menarik perhatian melalui kualiti minuman dan konsep yang dekat dengan cita rasa tempatan.

“Ramai beranggapan mesin mahal adalah kunci utama, sedangkan pengisar kopi berkualiti merupakan elemen terpenting dalam menghasilkan espresso yang baik,” katanya.

Kopi Berdey mula beroperasi pada 6 Februari 2025 dengan jualan sekitar 20 cawan sehari sebelum meningkat kepada kira-kira 100 cawan sehari hasil promosi berterusan di media sosial seperti TikTok dan Instagram.

Beroperasi dari jam 12.30 tengah hari hingga 7.00 malam, Kopi Berdey kini mencatat anggaran jualan harian sekitar RM1,000.

Menu signature Kopi Berdey serta kebebasan pelanggan menyesuaikan tahap kemanisan dan kekuatan kopi menjadi antara faktor tarikan utama. Jualan turut dipelbagaikan dengan penyediaan kopi dalam botol sepanjang Ramadan.

Seorang pelanggan, Siti Munirah Zakaria, 22, berkata Kopi Berdey menjadi tempat santai untuk berehat kerana suasananya yang tenang serta harga yang mesra pelajar.

-RI

Tinggalkan komen anda