
Laporan/Foto: Hamidah Len (Sabah)
KOTA KINABALU, 29 Mei (MalaysiaAktif)– Gelanggang Migazat Dukug atau tarik tali sempena Pesta Kaamatan 2026 tampil dengan pembaharuan menerusi pengenalan kategori terbuka dengan julat berat minimum 680 kilogram hingga tanpa had.
Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Pudin berkata penambahan kategori itu bertujuan memperluas penyertaan tanpa menjejaskan elemen persaingan dalam sukan tradisi berkenaan.
“Kali ini kita perkenalkan kategori mengikut berat dan juga kategori terbuka tanpa had berat.
“Setakat ini 25 pasukan sudah mengesahkan penyertaan termasuk tujuh pasukan wanita.
“Migazat Dukug dijadual berlangsung pada 30 hingga 31 Mei ini dan kita hadkan kepada 25 pasukan sahaja kerana tempoh penganjuran yang singkat,” katanya ketika ditemui di SMK Bahang Penampang, hari ini.
Menurutnya, Migazat Dukug sering berlangsung sebaik sahaja upacara menuai padi berakhir mencerminkan kekuatan fizikal dan semangat berpasukan dalam komuniti setempat.
Sementara itu, Terrance mengalu-alukan orang ramai hadir awal ke SMK Bahang pada Sabtu ini seawal jam 8 pagi bagi menyertai pelbagai sukan tradisi yang masih terbuka kepada penyertaan secara walk-in bermula pkl 8.30 pagi.
“Saya berharap orang ramai dapat memberikan sokongan kepada sukan tradisi ini. Ia hanya diadakan setahun sekali, jadi kita mahu ia terus dihayati.
“Ramai dalam kalangan generasi hari ini mungkin tidak tahu apa itu Rampanau atau proses memproses padi. Jadi dengan datang dan menyaksikan sendiri, mereka akan lebih memahami warisan ini,” ujarnya.
Menurut beliau, sukan tradisi itu turut terbuka kepada penyertaan lelaki dan wanita selain lebih 50 hadiah kepada pengunjung bertuah turut disediakan.
Antara sukan tradisi yang diketengahkan termasuk Momolistik (melastik), Sipatu Tompulalanggoi (terompah gergasi), mipulos (gusti lengan), monopuk (menyumpit), tumutu (memproses padi), manadus (membujak), monungkava kalabau (menjerat kerbau), mobpiri (menyalakan api) dan rampanau (berjalan menggunakan galah).
-RJ-






