Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Minggu Bersama Agrotani Sabak Bernam: Bantu Petani dan Pesawah

By 20 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Sabak Bernam)

SUNGAI BESAR, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Sektor pertanian dan penanaman padi terus menjadi nadi ekonomi utama di Daerah Sabak Bernam serta memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda keterjaminan makanan negeri Selangor.

Pegawai Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin, berkata sektor penanaman padi merangkumi kira-kira 12 peratus daripada keseluruhan aktiviti ekonomi daerah itu, manakala sektor pertanian lain pula menyumbang sekitar 30 peratus kepada landskap ekonomi setempat.

Menurut beliau, kenaikan kos bahan api sejak kebelakangan ini memberi kesan langsung kepada golongan petani, pesawah dan usahawan tani yang bergantung kepada penggunaan diesel dalam operasi harian mereka.

“Menyedari bebanan yang dihadapi komuniti agrotani, pihak kami mengambil inisiatif membuka kaunter fizikal secara bersemuka bagi pendaftaran Permit Khas Diesel oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta kaunter Budi MADANI bagi Budi Agri-Komoditi oleh Jabatan Pertanian.

“Melalui kaunter ini, usahawan dan petani boleh menyelesaikan urusan pendaftaran mereka dengan lebih mudah dan cepat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Minggu Bersama Agrotani Sabak Bernam 2026 di Dewan Seri Bernam, semalam.

Ali Sadikin turut berkata Sabak Bernam sememangnya terkenal dengan produk industri asas tani seperti kerepek dan kuih tradisional, termasuk kejayaan pengusaha Dodol Ani yang menerima geran bernilai RM500,000 daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau berharap lebih ramai pengusaha tempatan dapat mengembangkan produk mereka ke peringkat antarabangsa selain melahirkan usahawan tani yang lebih mampan, sistematik dan mampu menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang pertanian.

Sementara itu, pekebun kecil kelapa sawit dari Sungai Panjang, Dasmim Morsad, 65, menyifatkan pembukaan kaunter fizikal itu sebagai langkah yang amat membantu terutama bagi golongan veteran.

“Bantuan Agri-Komoditi sebanyak RM400 ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami memandangkan harga diesel sekarang semakin meningkat,” katanya.

Bagi pengusaha perkhidmatan jentera bajak, Mohd Jaafar Mat Rejab, 54, pula, pembukaan kaunter Permit Khas Diesel oleh KPDN memudahkan urusannya sebagai pemilik tiga buah jentera pembajakan.

Menurutnya, permit khas itu membolehkan beliau membeli sehingga 200 liter diesel sehari bagi memastikan kerja-kerja membajak sawah dapat dijalankan dengan lancar.

Program Minggu Bersama Agrotani Daerah Sabak Bernam 2026 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dengan pelbagai pengisian termasuk Kursus Teknologi Pertanian, pameran agensi dan Jualan Agro MADANI.

-AA-

Tinggalkan komen anda