
Laporan/foto: Nur Hamizah Ilham (Kota Marudu)
KOTA MARUDU, 2 Mei (MalaysiaAktif) – Penganjuran Pasar Malam Kampung Tagaroh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di daerah ini.
Biro Keusahawanan Jawatankuasa Kampung Tagaroh, Marnie Salupin berkata produk yang ditawarkan di pasar berkenaan merangkumi makanan tradisi, kraftangan serta hasil tani yang dihasilkan sepenuhnya oleh penduduk desa.
Menurut Marnie, penganjuran pasar tersebut mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran melebihi 500 pengunjung dari kampung berhampiran termasuk Kampung Bintasan, Kampung Lama dan Kampung Togop.
“Kejayaan program ini bukan sahaja menggerakkan ekonomi PMKS tempatan, malah berperanan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata pembukaan tapak pasar malam tersebut merupakan strategi signifikan bagi membuka peluang kepada golongan belia menceburi bidang keusahawanan.
Langkah ini dilihat sebagai inisiatif efektif untuk memberi ruang kepada anak muda mencari sumber pendapatan sekali gus membantu mengurangkan isu pengangguran di kawasan luar bandar.
“Kita mahu belia terlibat secara aktif dan menggunakan platform ini untuk mempromosikan pelbagai produk tempatan kepada pengunjung luar,” katanya.
-RJ-





