Skip to main content
Berita TempatanSabah

Layanan Mesra Paramedik Galak Budaya Derma Darah

By 1 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Sabri Sailus (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Kakitangan paramedik di Jabatan Perubatan Transfusi perlu mengekalkan tahap profesionalisme dan sifat prihatin bagi memastikan keselesaan setiap penderma darah.

Jururawat Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), Muhd Hazimin Ab Roni berkata pendekatan mesra amat penting terutamanya dalam memberi bimbingan serta nasihat kesihatan kepada penderma kali pertama.

Beliau yang berpengalaman selama 14 tahun sebagai paramedik percaya bahawa sikap positif petugas mampu memastikan proses pendermaan berjalan lancar dan selamat.

“Petugas sentiasa memastikan penderma berasa dihargai bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjamin kecukupan bekalan darah negara,” katanya ketika ditemui pada Kempen Derma Darah di Kolombong, hari ini.

Menurut Hazimin, setiap prosedur teknikal dijalankan dengan cermat bagi menggalakkan masyarakat untuk terus menyumbang sebagai penderma darah tetap pada masa hadapan.

Beliau menjelaskan bahawa tanggungjawab sebagai petugas phlebotomi di unit perolehan darah menuntut ketelitian tinggi dalam aspek penjagaan keselamatan penderma sepanjang proses berlangsung.

“Layanan yang baik bukan sahaja menjaga kebajikan penderma, malah menjadi pemangkin kepada kekerapan mereka untuk kembali menderma secara konsisten,” jelasnya.

Hazimin turut berkongsi pengalaman peribadi sebagai penderma darah tegar yang telah menyumbang sebanyak 51 kali sebagai motivasi kepada orang awam.

Peranan paramedik dilihat kritikal dalam memastikan bekalan darah yang selamat dapat disediakan untuk keperluan pesakit dalam tempoh yang ditetapkan.

Kempen pendermaan darah secara berkala di lokasi tumpuan awam terus dipergiat bagi memenuhi permintaan yang tinggi di hospital-hospital utama sekitar negeri ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda