
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (PPNS) Sri Aman menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Hulu Lemanak menerusi Program Sejahtera MADANI.
Pegawai Pembangunan Zon PPNS Sri Aman, Radiah Muhamad berkata bantuan berbentuk wang tunai dan bakul makanan itu diserahkan kepada dua Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas dalam insiden kebakaran pada 18 April lalu iaitu Masiah dan Ahmad yang hanya ingin dikenali dengan nama tersebut.
“Penyaluran bantuan ini bukan sekadar tanggungjawab pentadbiran, tetapi ia adalah manifestasi nilai ihsan dalam Program Sejahtera MADANI.
“Kebajikan rakyat yang ditimpa musibah akan sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini semalam.
Beliau berkata bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban kewangan selain memberi sokongan moral kepada keluarga terlibat untuk membina semula kehidupan mereka.
Tambah Radiah, PPNS Sri Aman akan terus memperkasakan agenda Sejahtera MADANI di peringkat akar umbi menerusi pemantauan berkala serta penyelarasan bantuan yang pantas bagi memastikan jaringan keselamatan sosial rakyat sentiasa terpelihara.
-RJ-





