
Laporan/foto: M. Sures/Ismail Hassan (Kota Setar)
ALOR SETAR, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Lebih 150 pelajar dan pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) berganding bahu mengubah Lorong Selamat di bandar Alor Setar menjadi galeri mural terbuka menerusi Program Kanvas Keselamatan Negara 2026.
Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah dengan kerjasama beberapa agensi itu menampilkan mural bertemakan keselamatan negara, perpaduan dan keharmonian masyarakat melalui pendekatan seni visual kreatif yang dekat dengan komuniti.
Program selama lapan hari bermula 10 hingga semalam itu merupakan kesinambungan kepada Program Lawan Seni Kanvas Keselamatan Negara 2025 yang sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan pelajar sekolah.
Setiap hasil karya yang dihasilkan bukan sahaja menyerlahkan elemen seni dan kreativiti, malah membawa mesej kesedaran sosial berkaitan keselamatan dan tanggungjawab bersama dalam menjaga keharmonian negara.
Pelajar UUM, Hana Tsu Soffea Soffian Azzahari, 21, berkata projek mural itu bukan sahaja mencantikkan kawasan bandar Alor Setar, malah berpotensi menjadi tarikan pelancong serta lokasi bergambar yang unik.
“Program ini turut memberi pengalaman hands-on kepada pelajar dalam menghasilkan karya seni berskala besar selain membuka ruang kerjasama dan perkongsian idea antara institusi pendidikan,” katanya.
Menurut beliau, setiap mural yang dihasilkan membawa mesej berbeza namun saling melengkapi dalam menyampaikan naratif keselamatan, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
-RI





