Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

600 Peserta Sik Edu Run Meriahkan Sambutan Hari Belia Negara Daerah Sik

By 18 Mei 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Yusmila (Sik)

SIK, 18 Mei (MalaysiaAktif) — Cuaca hujan lebat tidak menghalang ratusan penduduk tempatan membanjiri Sambutan Hari Belia Negara dan Hari Guru Peringkat Daerah Sik di sini, kelmarin.

Pegawai Daerah Sik, Faisal Rizal Mohamad berkata sambutan yang menggabungkan dua agenda besar itu dapat menjadi platform terbaik untuk merapatkan hubungan luar antara warga pendidik, belia, agensi kerajaan, dan komuniti setempat.

“Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada golongan belia serta warga pendidik atas peranan penting mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan.

Terdahulu, beliau turut menyempurnakan pelepasan kira-kira 600 peserta program Sik Edu Run yang diadakan sempena sambutan Hari Guru bagi memupuk amalan gaya hidup sihat.

Pelbagai pengisian menarik turut diadakan termasuklah pertandingan sukan elektronik (e-sports), pertandingan mewarna Tabika KEMAS, kaunter perkhidmatan terus agensi kerajaan, serta program Jualan Rahmah yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat.

-AA-

Tinggalkan komen anda