
Laporan/foto: Senie Endin(Betong)/Hamzah Bohari/Muhammad Danial Zakwan (Song)
KUCHING, 28 Mei (MalaysiaAktif) – Kawasan Kampung Melayu Betong dan Kampung Gelam, Song menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidiladha menerusi Program Ibadah Korban hasil kerjasama komuniti setempat hari ini.
Di Betong, Lembaga Khairat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) menyumbangkan lima ekor lembu korban untuk diagihkan kepada beberapa surau dan kampung di sekitar kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu bersama Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu turut menyumbangkan 12 ekor lembu kepada jawatankuasa keselamatan kampung bagi tujuan ibadah korban.
Gerald berkata, sumbangan tersebut merupakan usaha berterusan bagi membantu meringankan beban masyarakat serta mengukuhkan hubungan silaturahim dalam komuniti.
“Pemberian lembu korban ini diharap dapat memeriahkan sambutan Aidiladha di samping menyemai semangat kebersamaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut urus setia program Mazidi Katang, sumbangan lembu korban itu melibatkan Surau Dakwah Kampung Tengah Betong, Surau Damai Kampung Hilir Betong, Surau Darul Taqwa Kampung Baru Hulu Betong dan Surau Setia Kampung Baru Hilir Betong.
Sementara itu di Song, Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyumbangkan seekor lembu korban, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan menyumbangkan dua ekor lembu untuk diagihkan kepada penduduk beragama Islam di kawasan tersebut, hari ini.

Penglibatan aktif penduduk kampung yang bergotong-royong melaksanakan ibadah korban serta mengukuhkan hubungan silaturahim dalam komuniti setempat.
Menurut Alexander, sambutan Aidiladha bukan sekadar menghayati erti pengorbanan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu penduduk beragama Islam di Song menyambut Aidiladha dengan lebih bermakna di samping memupuk budaya gotong-royong,” katanya.
-RJ-





