
Laporan/Foto : Fauzrina Bulka/Malina Jamarin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 28 Mei (MalaysiaAktif)– Kungkung yang juga dikenali sebagai kulit lembu dan kulit kerbau merupakan bahan yang popular dalam tradisi masakan suku kaum Dusun di Sabah.
Walaupun penyediaannya memerlukan kesabaran tinggi, hidangan ini digemari kerana teksturnya yang kenyal, sedap di makan dan kaya dengan kolagen.
Seorang pemuda kaum Dusun, Mohd Nor Syafiq Syafie, 45 berkata kulit lembu yang diberikan oleh rakannya bagai ‘Bulan Jatuh ke Riba’ kerana ia bahan yang agak sukar diperoleh di pasaran.
“Kalau ada pun dijual di pasar tani biasanya ia berharga RM8 sekilogram yang belum di proses, manakala RM15 sekilogram yang sudah di proses kerana kerumitan penyediaannya.
“Proses keseluruhannya memakan masa kira-kira lima jam bermula dengan cuci dan bakar supaya kulit dan bulu dapat dikikis dengan mudah.
“Seterusnya kulit yang diselaputi arang tadi dicuci lagi menggunakan berus dawai sehingga bersih, lemak putih dihiris dan dilumur kapur bagi menghilangkan bau hanyir.
“Kemudian kulit direbus dengan api yang perlahan minimun selama tiga jam hingga mendapat kekenyalan yang dingini,” jelas Syafiq ketika ditemui di kediamannya semalam.
Tambahnya, kungkung yang siap diproses sedap dibuat Pinarasakan Kulit Lembu atau Tinumis, Sup Belulang yang boleh dinikmati dengan nasi panas atau dimasak bersama cili putih, kodop(cendawan liar), bunga kantan dan beberapa bahan lagi untuk membangkitkan selera.
Syafiq sangat berharap agar generasi muda tidak melupakan menu tradisi seperti kungkung untuk mengekalkan identiti budaya suku kaum Dusun.
“Kita perlu hargai proses tradisional iaitu memahami nilai kesabaran di sebalik penyediaan makanan klasik yang rumit dan memakan masa.
“Ia juga diharap dapat mencegah kepupusan resepi dengan memastikan menu unik etnik Sabah tidak lenyap ditelan zaman dan arus pemodenan,” katanya.
-RJ-





