
Laporan/foto: Fikri Johari (LMS)
BUKIT GANTANG, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak terus menjadi medium penting kerajaan negeri membantu rakyat khususnya golongan miskin dan miskin tegar melalui pendekatan intervensi bersepadu bersama pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik.
Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak, Jamilah Zakaria berkata seramai 700 peserta telah menyertai program yang memberi fokus kepada generasi kedua keluarga miskin khususnya dalam aspek pendidikan dan motivasi pelajar untuk kembali berminat ke sekolah itu, tahun lepas.
Beliau berkata pada tahun ini, pelaksanaan OSC memberi tumpuan kepada pendekatan intervensi dan pemantauan melalui pengenalan konsep keluarga angkat melibatkan Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR).
Ia katanya turut disokong dengan pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan, keusahawanan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan hasil kerjasama jabatan serta agensi berkaitan.
“Seramai 379 KIR di Mukim Bukit Gantang telah disaring dan ditentusahkan berdasarkan data kemiskinan terkini. Daripada jumlah tersebut, 100 peserta telah dipilih mengikuti program pembangunan kemahiran dan modal insan di bawah program OSC,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan di Astaka Bukit Gantang, di sini semalam.
Beliau berkata antara pecahan kluster program ialah keusahawanan melibatkan 50 orang peserta bagi bidang pertanian, penternakan, bakeri, masakan dan urutan seramai, 20 orang peserta bidang TVET dalam bidang elektrik dan automotif dan 30 orang peserta bidang pendidikan.
Katanya, berdasarkan statistik semasa sehingga 5 Mei lepas, jumlah miskin tegar di Perak direkodkan seramai 22 orang dengan satu KIR di daerah Larut Matang dan Selama (LMS).
Malah, KIR tersebut telah dipadankan dengan Bantuan Kanak-kanak (BKK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah maksimum RM1,000 yang akan dikreditkan pada Jun 2026.
Dalam pada itu, daerah LMS turut mencatatkan penurunan ketara kumpulan miskin sebanyak 74.2 peratus berbanding data pada 15 Januari lepas hasil pelaksanaan bantuan serta program intervensi yang bersesuaian mengikut minat dan kemahiran penerima manfaat.
Program OSC Sejahtera Sosial ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat secara menyeluruh.
-AA-





