Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Projek Mesra Rakyat Parlimen Mukah Tingkat Kualiti Hidup

By 6 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Nazree Seliman (Mukah)

MUKAH, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMR) di Parlimen Mukah diperkukuh menerusi sesi serah tapak projek pembangunan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

Pegawai Pusat Parlimen Mukah Nazree Seliman berkata antara projek terlibat ialah pembinaan baharu Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk dua penerima di Dalat.

“Pembinaan rumah PPRT ini melibatkan penerima yang hanya ingin dikenali Kamri Dairi serta Benson Nua dari Kampung Tanam,” katanya ketika ditemui pada sesi berkenaan, hari ini.

Menurut Nazree, setiap pembinaan rumah baharu tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM120,000 bagi menyediakan kediaman lebih selesa dan selamat.

Projek tersebut diselaraskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sibu) manakala kerja pembinaan diamanahkan kepada kontraktor Moza Larik.

Dalam pada itu, usaha menaik taraf kemudahan keagamaan turut dilaksanakan melibatkan Surau Darul Nadwah di Kampung Tutus Hilir dengan peruntukan RM60,000.

“Kerja-kerja baik pulih dan naik taraf Surau Darul Ikhlas di Kampung Boom Oya turut dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM80,000,” jelasnya.

Skop kerja di surau tersebut meliputi baik pulih karpet, pemasangan siaraya, penyediaan penghawa dingin, tangki air, pendawaian semula serta pembaikan tandas.

Nazree berkata penambahbaikan kemudahan surau penting bagi memastikan keselesaan penduduk menjalankan aktiviti keagamaan serta mengukuhkan peranan sebagai pusat komuniti.

Pelaksanaan projek PMR ini dijangka memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan kediaman dan infrastruktur awam yang lebih mampan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda