Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sejambak Kasih Gawai Dayak Santuni Golongan Sasar

By 6 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Felix Harus/Jackson Abell (Bau)/Salleh Immun/Farihan Razali (Mukah)

KUCHING, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempergiat inisiatif meringankan beban golongan sasar menjelang sambutan Hari Gawai menerusi Majlis Sejambak Kasih.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata program yang berlangsung lebih 20 tahun itu diadakan bagi membantu penerima membuat persediaan perayaan.

Fatimah Abdullah (tengah) merakamkan gambar bersama tetamu jemputan dan penerima sumbangan Sejambak Kasih di Rumah Ajah, Tanjung Pedada Mukah hari ini.

“Majlis Sejambak Kasih berperanan sebagai medium penyampaian sumbangan tunai serta hamper kepada para penerima bantuan selain memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian,” katanya ketika berucap di Rumah Ajah, Tanjung Pedada, hari ini.

Menurut Fatimah, seramai 100 penerima di Mukah hadir menerima sumbangan RM100 tunai dan hamper bernilai RM80 melibatkan penduduk dari Sebakong hingga Bukit Engkerbai.

Sehingga Mei 2026, JKM Sarawak telah menyalurkan RM11.13 juta kepada 4,540 penerima bantuan di bahagian berkenaan.

Sementara itu, di daerah Bau, seramai 1,483 penerima di Bahagian Kuching direkodkan layak menerima manfaat di bawah program yang sama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Dato Miro Simuh berkata bantuan tersebut bukan sekadar nilai material sebaliknya melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

“Gunakanlah waktu berharga ini untuk mengeratkan ikatan kasih sayang, saling memaafkan dan bina suasana rumah tangga yang harmoni serta sejahtera,” katanya ketika menyempurnakan majlis di Pusat Kebudayaan Komuniti Serembu, Kampung Peninjau, di sini hari ini.

Miro menjelaskan seramai 200 penerima hadir secara fizikal untuk menerima sumbangan manakala selebihnya menerima bantuan secara terus ke akaun bank masing-masing.

Penganjuran program ini diharap dapat memperkukuh kesejahteraan komuniti serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat menjelang sambutan Hari Gawai Dayak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda