
Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN
ALOR GAJAH, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku menjadi saluran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) berkongsi kepakaran dalam ilmu komunikasi bagi memantapkan literasi media dan komunikasi dalam kalangan pelajar sekolah.
Menyedari infrastruktur multimedia sekolah perlu disokong dengan latihan yang betul, Ketua Pengarah JAPEN Julina Johan berkata SKILLBOX@Kelab Malaysiaku hadir sebagai pengisian penting untuk ‘memperkukuh keupayaan pelajar’ dalam menguasai komunikasi digital secara lebih realistik.
“Kita sedia maklum ada sekolah-sekolah yang memiliki kemudahan multimedia. Jadi, penambahan modul-modul baru dalam program kali ini adalah cara JAPEN menghulurkan bantuan.
“SKILLBOX@Kelab Malaysiaku kali ini membawakan modul seperti Mobile Journalism (MoJo) untuk beri pendedahan baharu kepada peserta berbanding pengisian siri-siri sebelum ini yang agak terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program berkenaan yang disertai oleh 500 peserta sekolah menengah dari seluruh zon Semenanjung Malaysia bermula Jumaat hingga hari ini, di sini.
Program berkenaan yang pertama kali diperkenalkan pada 2021 dilakukan secara dalam talian susulan kekangan pandemik COVID-19, diikuti pada tahun 2022 menerusi kaedah sama.
Pelaksanaan pada tahun 2024 menyaksikan program kali ketiga itu diadakan berserentak dengan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) manakala tahun ini, JAPEN membawakan program yang menyasar untuk memperkukuh sahsiah diri serta meningkatkan kemahiran insaniah murid itu secara fizikal pada skala penyertaan yang lebih besar.
Julina dalam pada itu berkata program berkenaan juga turut membawa pengisian yang sarat dengan nilai patriotisme dan kenegaraan mengambil kira barisan peserta program itu yang kelak bakal mewarisi kepimpinan negara.
“Kita cuba terapkan nilai-nilai berkenaan melalui program ini kerana percaya semangat itu perlu dititipkan sejak dari bangku sekolah. Jadi, ini adalah salah satu platformnya.
“KPM (Kementerian Pendidikan) dan Kementerian Perpaduan Negara juga turut melaksanakan pendekatan sama tetapi dengan konsep yang berbeza. Namun, mesej dan hasratnya tetap sama,” katanya.
Bertemakan Aspirasi Diri Anak Bangsa (ADAB), SKILLBOX@Kelab Malaysiaku disasar melahirkan generasi pelajar yang berani dan bijak dalam mendepani cabaran masa kini menerusi pendedahan kemahiran insaniah secara praktikal.
Lebih menarik, majlis perasmian penutupan hari ini dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar sebagai latihan praktikal dalam pengurusan majlis dan kepimpinan berdasarkan modul yang telah dipelajari.
-FN





