
Laporan/foto: Zurina Saad (Kuala Muda)
MERBOK, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Kekurangan bukan penghalang untuk berjaya apabila seorang remaja autisme membuktikan bakat luar biasanya dalam seni mencanting batik sehingga mendapat perhatian masyarakat setempat.
Muhammad Aznief Izrie Mohd Rizan, 20, yang didiagnosis dengan autisme sejak kecil, berjaya menghasilkan pelbagai corak batik tanah liat berunsurkan motif-motif yang terdapat di Lembah Bujang seperti cengkerang kuno, pecahan seramik, manik-manik, akar bakau, daun dan sebagainya.
Ibunya, Farah Suhana Mohamad, 44, berkata minat Aznief terhadap seni mula dikesan sejak berusia 11 tahun apabila dia gemar melukis corak berulang melalui kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah dan selalu memenangi pelbagai pertandingan yang disertainya.
Menurut salah seorang tenaga pengajar seni batik tanah liat, Dr. Razamin Ramli, Aznief kini sudah mampu menghasilkan corak yang lebih mencabar seperti akar bakau, flora, geometri dan motif pecahan seramik secara konsisten serta kemas.
“Anak-anak autisme mempunyai kelebihan tersendiri. Dengan bimbingan yang betul, mereka mampu menyerlah dalam bidang tertentu termasuk seni kreatif seperti batik,” katanya jetika ditemui di Bengkel Batik Tanah Liat Lembah Bujang, di sini kelmarin.
Penganjuran bengkel berkenaan bertujuan memberi ruang kepada golongan kelainan upaya serta suri rumah untuk mengetengahkan bakat serta membuka peluang menjana pendapatan melalui hasil kraf tangan batik tanah liat ini.
-RI






