
Laporan/foto: Nur Imanina (Perak)/Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
IPOH, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Perak mengagihkan sebanyak 464 ekor lembu bagi semua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata sumbangan tersebut hasil kerjasama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri melalui komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Agensi terlibat ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).
“Agihan lembu korban ini turut melibatkan masjid dan surau, pasukan keselamatan, persatuan-persatuan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) terpilih di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut, lafaz akad korban bagi kawasan DUN yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam akan disempurnakan oleh ADUNberkenaan atau wakilnya.
“Bagi kawasan yang diwakili ADUN bukan beragama Islam pula, proses akad akan dilaksanakan oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan ibadah korban berpandukan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menjamin kelancaran pelaksanaan, pematuhan syarak dan aspek kesihatan awam.
-RI





