
Laporan/foto: Syamilah Yusman(Johor)/Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor
JOHOR BAHRU, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Tiga buah kedai di Medan Selera Tepian Tebrau, Jalan Mohd Amin di sini, musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.35 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin serta BBP Tebrau dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan tiga buah kedai berkeluasan 10×20 kaki persegi setiap satu.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran salur bantu mula dan dibantu dua lagi aliran sehingga kebakaran berjaya dipadamkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan pada 5.51 pagi.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
-AA-





