Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Road To MAHA 2026 Zon Utara Dekati Peladang dan Usahawan Agro

By 10 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi/Mohd Annasa’e (Kedah)

ALOR SETAR, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Program Road To MAHA 2026 Zon Utara yang berlangsung di Aman Central, Alor Setar pada 9 hingga 10 Mei menjadi platform penting dalam mendekatkan aspirasi Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 kepada masyarakat khususnya peladang, usahawan agro dan golongan belia di Zon Utara.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang turut melancarkan Truck Road To MAHA 2026 sebagai simbolik jelajah promosi ke seluruh negara menjelang penganjuran MAHA 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bermula 28 Ogos hingga 6 September tahun ini.

Program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran agensi pertanian, jualan produk agro, demonstrasi teknologi pertanian moden, reruai usahawan tempatan, pertandingan interaktif dan persembahan pentas.

Dalam program berkenaan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut mengambil bahagian bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sektor agromakanan negara dalam menjamin keterjaminan makanan.

Sepanjang program berlangsung, seramai 18 usahawan bimbingan MADA menyertai jualan produk tempatan dan Jualan Agro MADANI (JAM) yang secara tidak langsung membuka peluang promosi lebih meluas serta membantu memperkukuh jaringan pemasaran dan potensi pendapatan usahawan tempatan.

Menurut Pegawai Industri Makanan dan Usahawan MADA, Nur Nazwa Ahmad Tahir, program berkenaan memberi peluang kepada usahawan agro memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat selain membuka ruang jaringan perniagaan yang lebih luas.

“Penglibatan usahawan bimbingan MADA dalam program ini juga diharap dapat meningkatkan keyakinan pengunjung terhadap produk tempatan sekali gus membantu memperkasakan sektor agromakanan negara,” katanya.

Program Road To MAHA 2026 Zon Utara dilihat berjaya mendekatkan masyarakat dengan sektor pertanian moden selain menjadi medium promosi awal kepada ekspo pertanian terbesar negara yang bakal berlangsung di MAEPS, Serdang.

-AA-

Tinggalkan komen anda