Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Lancar BRAIS 2026, Perluas Bantuan Golongan OKU

By 19 Mei 2026Mei 20th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

SHAH ALAM, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Selangor menerusi Yayasan Anak Istimewa Selangor (YANIS) secara rasmi melancarkan Bantuan Rahmah Insan Istimewa Selangor (BRAIS) bagi tahun 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari berkata inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai langkah proaktif kerajaan negeri dalam memperluaskan skop sokongan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.

Menurutnya, pelaksanaan BRAIS 2026 turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan signifikan selaras komitmen kerajaan negeri membina ekosistem sokongan yang lebih inklusif serta mesra OKU di Selangor.

“Antara penambahbaikan utama ialah perluasan kategori bantuan kepada lima kategori termasuk pengenalan bantuan fasiliti tandas kediaman mesra OKU sebanyak RM1,500.

“Selain itu, bantuan ubat-ubatan, makanan tambahan dan keperluan khas turut diperkenalkan dengan kadar bantuan sebanyak RM1,200 kepada penerima yang layak,” katanya kepada media selepas merasmikan program BRAIS di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini Sabtu lalu.

Ujarnya, penambahan kategori bantuan berkenaan bertujuan memastikan kemudahan fasiliti serta keperluan asas kesihatan golongan OKU lebih terjaga dan selesa di kediaman masing-masing.

“Kerajaan negeri turut meningkatkan had umur penerima manfaat daripada 18 tahun kepada 60 tahun ke bawah bagi membolehkan lebih ramai dewasa OKU menerima bantuan.

“Perluasan had umur itu dijangka memberi akses lebih meluas kepada bantuan peralatan, rawatan perubatan serta sokongan terapi yang diperlukan oleh golongan berkenaan,” jelasnya.

Tambah beliau, proses permohonan BRAIS kini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian termasuk penghantaran dokumen sokongan bagi mempercepatkan proses kelulusan kepada pemohon.

“Kerajaan negeri komited memastikan setiap insan istimewa mendapat sokongan bermaruah dalam masyarakat yang inklusif dan prihatin,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda