
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/SWCorp Johor
JOHOR BAHRU, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 30 peserta tempatan daripada golongan B40 mengikuti latihan intensif selama dua hari melibatkan teknik upcycling fabrik, strategi pemasaran, penjenamaan produk kreatif serta asas keusahawanan digital bagi memperkasa ekonomi komuniti menerusi penghasilan produk bernilai daripada fabrik terpakai.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed, berkata inisiatif itu diperkenalkan susulan peningkatan lambakan fabrik sintetik yang mengambil masa ratusan tahun untuk terurai di tapak pelupusan sehingga berpotensi meningkatkan pelepasan gas metana serta memberi kesan negatif kepada alam sekitar termasuk pencemaran tanah dan sistem saliran air.
Menurut beliau, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan SWCorp dalam menyokong agenda Malaysia MADANI, pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11 dan 12.
“Melalui pendekatan upcycling, bahan buangan tidak lagi dilihat sebagai sampah semata-mata, sebaliknya sebagai sumber yang mempunyai nilai ekonomi dan nilai gunaan optimum.
“Pada masa sama, ia membuka ruang keusahawanan kreatif kepada golongan B40 untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka secara mampan dan mandiri,” katanya selepas merasmikan program tersebut di Wisma Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), semalam.
Tambah beliau, peserta program turut menerima bimbingan eksklusif selama lima bulan daripada Jarum Terbang International Sdn. Bhd. bagi membantu mengembangkan potensi perniagaan dan meningkatkan daya saing produk masing-masing di pasaran.
Sementara itu, Pengarah SWCorp Negeri Johor Zainal Fitri Ahmad, berkata program berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan sisa tekstil di tapak pelupusan, malah memperkasa komuniti dengan kemahiran baharu yang mampu menjana pendapatan lestari.
“Kami mahu melahirkan peserta sebagai ejen perubahan ekonomi kitaran di lokaliti masing-masing sekali gus menyumbang kepada aspirasi Bandar Bersih Johor 2030,” katanya.
-RI





