
Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi/Mahathir Kamal (Kota Belud)/USTO
KOTA BELUD, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Legasi seni menyumpit atau monopuk yang pernah menjadi kemahiran survival masyarakat Dusun di daerah ini terus dipertahankan menerusi sambutan Pesta Kaamatan.
Ketua Acara Monopuk Perayaan Kaamatan Peringkat Daerah Kota Belud 2026, Ginduk Manon berkata usaha memartabatkan semula sukan tradisi itu perlu dipergiat secara berterusan.
Ginduk menjelaskan aktiviti tersebut tidak seharusnya tertumpu ketika musim perayaan semata-mata bagi memastikan warisan berkenaan kekal relevan.
“Bukan semata-mata untuk perayaan Kaamatan, sukan tradisi monopuk perlu dihidupkan kembali agar warisan ini tidak dilupakan,” katanya ketika ditemui di Padang Pekan Kota Belud, di sini kelmarin.
Menurut Ginduk yang mewakili Pertubuhan Tindal Bersatu Sabah (USTO), sumpit tradisional biasanya diperbuat daripada kayu keras seperti belian bagi memastikan ketahanan dan ia dilengkapi mata tombak atau tangkul pada bahagian hujung untuk kegunaan jarak dekat.
-RJ-





