
Laporan/foto: Suhaime Sahirul/Mc Denver L Toni (Sipitang)
SIPITANG, 3 Mei (MalaysiaAktif) – Pertandingan nyanyian tradisional Sugandoi peringkat daerah Sipitang tahun 2026 terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat setempat.
Penyelaras Sugandoi Kaamatan Daerah Sipitang, Syahlil Mohd Yah berkata pertandingan tahun ini menampilkan tiga kategori utama iaitu veteran, remaja dan kanak-kanak bagi memeriahkan suasana sambutan.
Menurut Syahlil, penganjuran tahunan itu merupakan simbolik penting dalam memastikan tradisi etnik Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) terus terpelihara dan diamalkan generasi muda.
“Penyertaan daripada pelbagai peringkat usia ini membuktikan semangat kebudayaan kita masih kukuh dan subur dalam komuniti,” katanya di Esplanad Sipitang, di sini semalam.
Beliau berkata platform tersebut bukan sekadar pertandingan nyanyian, malah menjadi wadah penyatuan masyarakat melalui seni budaya.
Dalam pertandingan tersebut, Mohammad Irfan Syaqil Mohammad Faizal, 17, dinobatkan sebagai juara Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Sipitang bagi edisi 2026.
Irfan Syaqil yang mula meminati bidang seni sejak usia tujuh tahun menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian bermakna selepas aktif menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sebelum ini.
“Saya amat bersyukur kerana impian untuk merangkul gelaran juara di daerah sendiri akhirnya tercapai selepas melakukan persiapan rapi,” katanya.
Beliau sebelum ini pernah meraih johan pertandingan U Got Talent di Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta naib johan Sabah Got Talent pada tahun lalu.
Kejayaan tersebut melayakkan beliau mewakili daerah Sipitang ke peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Penampang pada hujung bulan ini.
-RJ-





