Skip to main content
Berita TempatanSarawak

101 Beg Darah Berjaya Dikumpul Sempena Hari Penderma Darah Sedunia

By 13 Jun 2026Jun 15th, 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)

MUKAH, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Kempen Derma Darah oleh Mukah Life Care Society sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia berjaya mencapai sasaran apabila sebanyak 101 beg darah dikumpulkan di daerah ini hari ini.

Program dianjurkan bersama Pasaraya 101 Superman Supermarket Mukah dan Unit Tabung Darah Hospital Mukah.

Pengerusi Mukah Life Care Society, Tang Tiing Ping berkata kempen itu diadakan lebih awal sempena Hari Penderma Darah Sedunia yang disambut pada 14 Jun setiap tahun bagi menghargai pengorbanan penderma.

Langkah ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah secara sukarela bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit di hospital.

“Kejayaan mencapai sasaran tersebut membuktikan kesedaran masyarakat Mukah terhadap kepentingan pendermaan darah semakin meningkat dari semasa ke semasa,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Tang berharap lebih banyak pertubuhan korporat dan pihak swasta tampil bekerjasama menjayakan kempen kesihatan sedemikian pada masa hadapan.

Setiap beg darah yang didermakan disifatkan berpotensi membantu menyelamatkan sehingga tiga nyawa, sekali gus menjadi sumbangan yang amat bermakna kepada masyarakat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda