Skip to main content
Berita TempatanSarawak

RM300,000 Geran Projek Khas Perkasa Pembangunan Komuniti

By 13 Jun 2026Jun 15th, 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Ikhwan Mostapa (Mukah)

MUKAH, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM300,000 diperuntukkan menerusi Geran Peruntukan Projek Khas Tahun 2026 kepada 32 penerima yang terdiri daripada pelbagai organisasi masyarakat di daerah ini.

Penerima geran tersebut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masjid, surau serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib berkata peruntukan itu sebagai usaha berterusan dalam menyokong pelaksanaan pelbagai program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

“Saya percaya setiap organisasi yang menerima bantuan ini mempunyai peranan besar dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Gunakanlah bantuan ini untuk memperkukuhkan program pendidikan, meningkatkan pencapaian akademik dan membentuk sahsiah pelajar yang cemerlang kerana pendidikan adalah asas kepada kemajuan sesebuah masyarakat,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyerahan geran tersebut hari ini.

Pihak pengurusan rumah ibadah juga diingatkan agar menggunakan peruntukan yang diterima untuk memperkasakan aktiviti keagamaan serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

NGO dan JKKK dalam masa sama disaran memanfaatkan bantuan tersebut bagi melaksanakan program yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda