Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Budaya Pakai Samping Melayu Dalam Kalangan Generasi Muda

By 18 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Farid Izwan/Wirwan Nor Rama (Sarawak)

BETONG, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Usaha memelihara warisan budaya Melayu terus diperkasakan menerusi perkongsian ilmu mengenai pemakaian samping yang betul sempena Pameran Raja Kita Peringkat Sarawak 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, hari ini.

Program anjuran Jabatan Muzium Malaysia itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan samping Melayu sebagai identiti budaya yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Pembantu Muzium Di-Raja Kuala Lumpur, Ahmad Sazali Sabu berkongsi pengetahuan serta mengadakan demonstrasi pemakaian samping Melayu yang betul kepada para pengunjung.

Sesi tersebut memberi peluang kepada orang ramai memahami teknik ikatan samping selain mengenali keunikan dan nilai warisan yang terkandung dalam setiap gaya pemakaiannya.

Seorang pengunjung, Siti Aishah Suhaili, 35, menyatakan program seumpama itu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dalam memahami semula seni pemakaian samping tradisional.

“Perkongsian penggunaan kain samping yang betul ini bukan sahaja penting kepada generasi baharu, malah memberi peluang kepada kami untuk mempelajari dan mengenali semula pelbagai jenis ikatan samping Melayu yang semakin jarang digunakan,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Seorang perias pengantin, Syarifah Nor Rozalia, 36, menyifatkan ilmu yang diperoleh melalui sesi perkongsian tersebut amat berguna dalam bidang kerjayanya.

“Sebagai seorang perias, teknik ikatan samping yang betul amat penting ketika merias pengantin lelaki kerana setiap ikatan atau bunga samping mempunyai maksud serta keistimewaannya yang tersendiri,” ujarnya.

Langkah ini disifatkan sedikit sebanyak menambah pengetahuan penggiat industri kreatif serta membantu memastikan elemen warisan terus dipelihara dan dipraktikkan dalam majlis perkahwinan.

Penganjuran aktiviti berkenaan nyata menarik perhatian pengunjung selain menjadi platform pendidikan budaya yang membantu memperkukuh pemahaman masyarakat mengenai kepentingan membudayakan pemakaian busana Melayu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda