
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/UMSKAL
LABUAN, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Pendekatan baharu dalam pengukuran kemiskinan melalui Pengukuran Kemiskinan Multidimensi (MPI) terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Program Basmi Miskin Tegar: MPI di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), hari ini.
Program itu turut memberi fokus kepada pembangunan sistem MyMPI+ yang dibangunkan oleh Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya (UM) bagi mengumpul dan menganalisis data kesejahteraan isi rumah secara lebih menyeluruh.
Menurut kenyataan UMSKAL, pendekatan MPI digunakan bagi menilai keberkesanan dan kemampanan impak Inisiatif Basmi Miskin Tegar (IBMT), selain membantu memperkukuh asas data dalam merangka dasar pembasmian kemiskinan yang lebih tepat dan inklusif.
“Inisiatif ini turut mengumpul data kesejahteraan peserta bagi menyokong pembangunan sistem MyMPI+ yang dibangunkan oleh UAC,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, usaha ini juga bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap pengukuran kemiskinan secara multidimensi dalam kalangan pemegang taruh bagi memastikan dasar pembangunan yang lebih mampan dapat dilaksanakan.
Program berkenaan turut memperlihatkan kerjasama strategik antara UAC dan UMSKAL dalam memperkukuh penyelidikan serta pembangunan kaedah pengukuran kemiskinan yang lebih komprehensif.
-AA-





