Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Festival WAK Sibu 2026 Rancakkan Ekonomi Kreatif Tempatan

By 13 Jun 2026Jun 15th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Norhasmin (Sibu)

SIBU, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Festival (What About Kuching) WAK Sibu 2026 kembali memeriahkan bandar ini apabila edisi ketiganya yang berlangsung selama tiga hari dari 12 hingga 14 Jun di Pusat Warisan Sibu berjaya menarik penyertaan pengunjung serta penggiat industri kreatif tempatan.

Festival berkenaan menjadi platform penting dalam merancakkan ekonomi kreatif, membuka peluang perniagaan serta menyokong pertumbuhan usahawan kecil dan belia melalui aktiviti jualan dan pameran yang diadakan sepanjang program.

Ahli Majlis Perbandaran Sibu (SMC), Kaunselor Michelle Law yang mewakili Pengerusi SMC, Clarence Ting Ing Horh berkata festival itu bukan sahaja berfungsi sebagai acara hiburan, tetapi turut memberi impak kepada pembangunan ekonomi setempat.

“WAK Sibu bukan sekadar sebuah festival; ia adalah manifestasi tenaga, kreativiti dan semangat budaya Sibu yang sebenar. Ia menyediakan ruang yang dinamik untuk masyarakat berkumpul, berhibur dan meraikan identiti bersama di samping memperkayakan ekonomi kreatif bandar kita,” katanya.

Berteraskan tema Daripada Komuniti, Untuk Komuniti, festival ini berperanan sebagai edisi satelit kepada Festival WAK yang lebih besar, sekali gus memperluas peluang penyertaan kepada penggiat seni, budaya dan usahawan tempatan.

Sementara itu, seorang penjaja, Haslam Othman, 39, berkata penyertaannya dalam festival tersebut membantu menjana pendapatan tambahan melalui peluang perniagaan yang disediakan.

“Program kali ini membuka ruang kepada golongan usahawan kecil dan belia untuk berniaga di gerai yang disediakan, sekali gus membantu menambah pendapatan sampingan,” katanya.

Festival WAK Sibu 2026 turut menjadi antara platform yang menyokong pembangunan ekonomi kreatif setempat melalui penglibatan usahawan, penggiat seni dan industri kecil sepanjang penganjuran program.

-RJ-

Tinggalkan komen anda