
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Facebook Saifuddin Nasution Ismail
JOHOR BAHRU, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Usaha menangani masalah dadah memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan yang dilaksanakan secara seimbang dan bersepadu.
Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pendekatan yang diambil perlu bersifat tegas namun pada masa yang sama berteraskan nilai kemanusiaan.
“Ia perlu selaras dengan dasar Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bukan hanya memberikan tumpuan kepada pembanterasan pengedaran dadah semata-mata sahaja.
“Peluang perlu diberikan kepada mereka yang kembali ke pangkal jalan supaya ada ruang pemulihan dan sokongan kepada individu berkenaan agar mereka dapat kembali berfungsi sebagai anggota masyarakat yang produktif dan berakhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Johor Bahru 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wangsa, di sini hari ini.
Beliau berkata penganjuran JABD memberikan impak yang positif dalam memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat, sekali gus meningkatkan kesedaran awam terhadap peranan bersama dalam mewujudkan komuniti yang bebas daripada ancaman dadah.
“Melihat perbezaan antara program-program lain, JABD ini menampilkan konsep turun padang yang memberi penekanan kepada penglibatan secara langsung bersama komuniti setempat.
“Pendekatan ini bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti rasmi di dalam dewan, malah turut melibatkan pelbagai program kemasyarakatan yang merentasi pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
-AA-





