
Laporan/foto: Abd Aziz Osman
BERTAM, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Kerja menaik taraf sistem pencahayaan padang bola sepak di Kompleks Sukan dan Rekreasi Bertam, di sini telah siap xxx.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata projek itu dijalankan secara bersama antara pihaknya dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
Beliau berkata projek itu bertujuan memastikan kemudahan sedia ada memenuhi piawaian semasa, di samping mengoptimumkan penggunaan padang bagi pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi, terutama pada waktu malam.
“Secara keseluruhan, kerja-kerja penambahbaikan sistem pencahayaan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.36 juta yang disalurkan menerusi dana KPKT.
“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna, malah membuka lebih banyak peluang kepada komuniti setempat untuk menjalankan aktiviti sukan secara lebih aktif dan teratur,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Baderul Amin (tengah) ketika melawat ke Kompleks Sukan dan Rekreasi Bertam.
Antara komponen utama projek berkenaan ialah pemasangan empat tiang lampu berketinggian 30 meter serta 40 unit lampu limpah diod pemancar cahaya (LED) berkapasiti 1,200 watt yang dilengkapi teknologi pencahayaan moden, lebih cekap tenaga dan menepati piawaian semasa.
Selain itu, skop pelaksanaan turut melibatkan penambahbaikan sistem pendawaian, pemasangan papan agihan elektrik baharu serta kerja pengujian dan pentauliahan bagi memastikan keseluruhan sistem beroperasi dengan selamat, stabil dan berfungsi secara optimum.
Kemudahan yang dinaik taraf itu dijangka memberi nilai tambah kepada pengguna dengan membolehkan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi berlangsung dalam suasana yang lebih terang, selesa dan kondusif, sekali gus merancakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti gaya hidup sihat.
Kompleks Sukan dan Rekreasi Bertam yang telah beroperasi lebih 20 tahun kini menawarkan pelbagai kemudahan lengkap termasuk padang bola sepak, gelanggang hoki, gelanggang badminton, fasiliti lawn bowl serta kawasan rekreasi yang memenuhi keperluan atlet dan masyarakat setempat.
Dengan kemudahan yang semakin moden dan komprehensif, kompleks ini berpotensi muncul sebagai antara hab sukan utama di Pulau Pinang serta menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran kejohanan di peringkat negeri, kebangsaan dan serantau, di samping memainkan peranan penting dalam melahirkan serta menggilap bakat-bakat sukan baharu dalam kalangan generasi muda.
-RI





