Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Program Derma Darah Semarakkan Semangat Kesukarelawanan

By 8 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noornita Ahmad (Seberang Perai Tengah)

PERAI, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Penganjuran program derma darah bukan sahaja membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi, malah berperanan mengukuhkan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat serta menyemarakkan semangat kesukarelawanan, kata Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Poonu Victor.

“Setiap titisan darah yang didermakan mampu memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan. Saya berharap lebih ramai masyarakat akan tampil menyertai program seperti ini pada masa hadapan demi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi,” katanya di sini kelmarin.

Program sempena Majlis Rasmi Komuniti dan Sambutan Hari Derma Darah Sedunia yang disambut pada 14 Jun berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam usaha memperkukuh bekalan darah di negeri ini, sekali gus meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pendermaan darah sebagai amalan murni yang mampu menyelamatkan nyawa.

Heng Lee Lee menyampaikan cenderamata kepada sukarelawan penderma darah.

Program yang mendapat sambutan menggalakkan itu dianjurkan sebagai platform untuk menggalakkan lebih ramai individu tampil menjadi penderma darah secara sukarela, selain membantu menambah stok bekalan darah di hospital bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan rawatan.

Selain aktiviti pendermaan darah, turut diadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan sesi penerangan yang memberi pendedahan mengenai kepentingan menderma darah secara berkala, syarat kelayakan penderma serta manfaat kesihatan yang diperoleh melalui amalan pendermaan darah.

Kehadiran pemimpin masyarakat, wakil agensi kerajaan serta orang ramai sejak awal pagi mencerminkan keprihatinan dan komitmen masyarakat dalam menjayakan aktiviti berteraskan kebajikan serta kesejahteraan komuniti.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit Heng Lee Lee serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Chai Leng Tan Hock Chai.

-RI

Tinggalkan komen anda