
Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)
KUALA NERANG, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) membangunkan lapan buah pusat pengumpulan hasil durian atau Durian Hub di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu.
Pengerusi KEDA Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata Durian Hub berfungsi sebagai pusat sehenti bagi urusan pengumpulan, penggredan dan pemasaran hasil durian peserta projek sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan hasil dan pulangan kepada pengusaha.
“Pembangunan Durian Hub melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM288,000 dengan empat lokasi telah siap dibangunkan di Desa KEDA Bukit Kura, Kampung Padang Setol, Kampung Seladang Rebah dan Kampung Tok Pelu membabitkan kos RM145,000.
“Baki empat lagi lokasi akan dimuktamadkan dan dibangunkan sebelum penghujung tahun ini. Kewujudan Durian Hub membolehkan peserta menghantar hasil ke lokasi yang lebih dekat tanpa perlu bergerak jauh selain membantu urusan pemasaran secara lebih sistematik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Durian Fest @ Prospek Pedu 4.0 di Bukit Langsat, Padang Setol, Isnin lalu.
Beliau berkata Prospek Pedu merupakan inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan sosial di kampung sedia ada tanpa melibatkan pembukaan kawasan baharu.
Projek yang bermula pada tahun 2022 itu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dengan kos keseluruhan RM7.9 juta dan memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di 12 kampung dalam Mukim Pedu.
Sehingga kini, seramai 354 peserta terlibat dalam perusahaan tanaman durian meliputi kawasan seluas 284 hektar dengan hampir 20,000 pokok daripada pelbagai varieti klon serta durian kampung.
Menurut Mahdzir, Durian Hub mampu mengurangkan kebergantungan peserta kepada orang tengah dan membolehkan pemasaran hasil dilaksanakan secara berkelompok bagi memperoleh harga yang lebih kompetitif.
“Bagi tahun 2026 yang merupakan tahun akhir pelaksanaan Prospek Pedu, sebanyak RM3.6 juta diperuntukkan melibatkan bantuan ekonomi berjumlah RM2.16 juta termasuk RM400,000 bagi input baja tanaman durian, RM720,000 untuk pembangunan prasarana asas seperti jalan dan perparitan serta RM720,000 bagi pelaksanaan projek perumahan,” katanya.
-RI





