Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sejahtera MADANI Salur RM25,000 Bantu 50 KIR Miskin di Bahagian Sarikei

By 23 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Latifah Abdul Latip/Aini Elah/Ziaulkhumaini Othman (Sarikei)

SARIKEI, 9 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 50 Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin yang berdaftar dalam sistem eKasih di Sarikei, Meradong, Kabong dan Saratok menerima bantuan Baucar Tunai bernilai RM500 seorang menerusi Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Kebajikan Tahun 2026.

Pegawai Pembangunan Zon, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Sri Aman), Radiah Muhamed@Muhamad yang mewakili Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Menurut beliau, program itu memberi fokus kepada aspek kebajikan masyarakat melalui penyampaian bantuan secara terus kepada kumpulan sasar yang layak.

“Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Kebajikan Tahun 2026 merupakan satu inisiatif prihatin kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya ketika berucap pada program tersebut, di sini hari ini.

Sebelum ini, program yang sama turut dilaksanakan di Daerah Sri Aman, Lubok Antu, Lingga, Pantu, Betong, Pusa, Julau dan Pakan melibatkan 200 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah bantuan keseluruhan RM100,000.

Selain bantuan baucar tunai, sesi kedua program turut menyaksikan penyerahan peralatan kesihatan kepada Ketua Isi Rumah eKasih yang terlantar dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Seramai 13 penerima dari Daerah Sarikei, Meradong dan Saratok menerima bantuan seperti mesin sedutan, lampin pakai buang, kerusi roda dan tiub makanan dengan nilai keseluruhan RM50,000.

Salah seorang penerima dari Sarikei, Salleh Bisuni, 76, berkata bantuan yang diterima dapat membantu mengurangkan beban kewangan keluarga.

“Pemberian bantuan baucar bernilai RM500 ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Sementara itu, penerima dari Kabong, Madihah Dollah, 85, menyifatkan bantuan berkenaan amat bermakna dalam memenuhi keperluan harian keluarga.

Penyaluran bantuan tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM25,000 sebagai usaha kerajaan membantu golongan yang memerlukan serta meringankan kos sara hidup rakyat.

-FN

Tinggalkan komen anda