
Laporan/foto: Sylvia Jocylena Sumping/Nur Hamizah Ilham (Kota Marudu)
MATUNGGONG, 18 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama dengan pertubuhan kebudayaan dan pemimpin masyarakat bagi memastikan warisan budaya setiap etnik di Sabah terus dipelihara untuk diwarisi kepada generasi akan datang.
Mengambil contoh budaya Rungus, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata warisan etnik berkenaan sebahagian daripada khazanah berharga di negeri itu yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan.
Tambahnya, kerajaan negeri juga akan terus memberikan perhatian terhadap usaha memelihara warisan budaya semua kaum dan memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan tidak menghakis identiti budaya masyarakat di Sabah.
“Kerjasama ini bagi memastikan warisan budaya terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang, generasi muda diseru menghargai dan mencintai budaya sendiri dalam era globalisasi. Budaya tradisional perlu dipelihara dan disesuaikan agar terus relevan dan dihargai.
“Tema festival ‘Budaya Tradisi, Pemangkin Perpaduan’ amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri, masyarakat Rungus terkenal dengan nilai-nilai murni seperti gotong-royong dan hormat-menghormati.
“Nilao-nilai ini perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda untuk perpaduan berkekalan,” katanya semasa merasmikan Festival Kebudayaan Rungus Sabah anjuran Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS) hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki.
Festival selama tiga hari sehingga 18 Julai itu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian antaranya sukan rakyat, pertandingan tarian tradisi, serta pertandingan Mitarab Gimpuhut Tinongkupan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Matunggong di Pantai Teringai.
-RJ-




