Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Saati Run 2026 Himpunkan 600 Peserta Sempena Hari Sarawak

By 22 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Hidayah Ismail/Awang Asmanizam Awang Ahmad (Meradong)

BINTANGOR, 18 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 600 peserta menyertai edisi keempat Saati Run 2026 sempena sambutan Hari Sarawak yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing di Dewan Masyarakat Bintangor, hari ini.

Menurut Ding, sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan semangat kebersamaan masyarakat dalam menjayakan aktiviti komuniti di samping membudayakan amalan hidup sihat.

“Saati Run bukan sekadar acara larian, malah menjadi platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola Larian Ley Chee Hua, 39, berkata penjenamaan semula program kepada Saati Run merupakan inisiatif Ding dengan perkataan ‘Saati’ yang diambil daripada bahasa Iban bermaksud sehati.

“Nama ini melambangkan semangat kebersamaan dan perpaduan warga Meradong bersempena sambutan Hari Sarawak, selain menghargai sejarah, keharmonian dan kemajuan yang telah dikecapi oleh negeri ini,” jelasnya.

Bagi juara kategori lelaki bawah 18 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart, Sibu, Jayden Tan, 16, penyertaannya dalam Saati Run menjadi platform meningkatkan tahap kecergasan fizikal sebagai persediaan larian jarak lebih jauh pada masa hadapan.

Tambahnya, suasana mesra dan harmoni sepanjang program menjadi antara faktor pendorong untuknya terus menyertai acara tersebut setiap tahun.

Secara keseluruhannya, program berkenaan bukan sahaja menggalakkan masyarakat dalam aktiviti riadah, malah menyemarakkan lagi sambutan Hari Sarawak melalui penglibatan komuniti pelbagai lapisan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda