
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Para pelajar yang ditemui di sini melahirkan rasa teruja dapat memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka selepas menerima vaksin COVID-19.
Bagi seorang pelajar, Muhammad Zhafiy Izzfan Rafizal, 12, sudah tidak sabar untuk bertemu rakan-rakan dan guru-guru di sekolah.
“Saya rasa sangat gembira sebab sudah lama ingin jumpa rakan-rakan dan guru-guru, saya merindui suasana belajar di dalam kelas,” jelasnya yang ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Sungai Lada, pagi tadi.
Katanya, perasaan gementar sebelum menerima vaksin hilang selepas melihat rakan-rakannya yang lain tidak takut untuk menerima vaksin.
“Mula-mula rasa sikit gementar tapi semuanya ‘ok’ selepas tengok semua rakan-rakan tidak takut ambil vaksin, lagipun vaksin ini baik untuk kesihatan kita,” jelasnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusuf Mohamad (dua dari kiri) meninjau proses pemberian vaksin di PPV tersebut.
Bagi Alya Irdina A Roslan, 12, berkongsi kegembiraan dapat melengkapkan pengambilan vaksin COVID-19.
“Perasaan saya amat gembira kerana sudah terima vaksin COVID-19 kerana selepas ini boleh memudahkan pergerakan saya dan dapat bergaul dengan kawan-kawan dengan lebih selesa berbanding sebelum ini,” katanya.
Bagi Joynailey Johnlee, 12, turut berkongsi kelegaan apabila boleh melangkah ke sekolah dengan lebih yakin.
“Saya gembira dan bangga berpeluang menerima vaksin kerana lebih senang untuk bertemu kawan-kawan serta belajar bersama mereka di sekolah nanti,” kongsinya.
Bagi seorang ibu, Noorlihan Abdul Alip, 40, melahirkan rasa syukur kerana anaknya menerima vaksin COVID-19 sebelum bermulanya sesi persekolahan.
“Syukur kerana anak saya terima vaksin, ini penting untuk kesihatan mereka terutama menjelang pembukaan sekolah.
“Kami sebagai ibu bapa rasa terjamin dengan keselamatan anak-anak semasa berada di sekolah tambah lagi anak-anak saya sudah tidak sabar untuk ke sekolah bersemuka dengan kawan-kawan dan guru-guru,” katanya lagi.
Manakala bagi Jamilah Abdul Majid, 41, turut menzahirkan kesyukuran kerana anak pertamanya diberi peluang menerima vaksin COVID-19.
“Rasa ketakutan dan kerisauan berkurangan serta bertukar rasa lega kerana anak sudah dapat belajar di sekolah dengan anak-anak yang lain,” ujarnya.
Beliau turut menyeru kepada ibu bapa yang menolak vaksin COVID-19 agar lebih memikirkan kepentingan anak-anak yang akan bersekolah bersama-sama.
“Saya rasa susah hati bagi ibu bapa yang menolak vaksin kerana anak-anak akan bersekolah dan bertemu dengan kawan-kawan mereka.
“Kita perlu berhadapan dengan COVID-19, kita perlu terima cabaran ini dan usaha yang terbaik untuk mengatasinya,” jelasnya lagi.
-RI