
Laporan/foto: Mohd Efandi Yacob (Sepang)
SEPANG, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Yang Berhormat Datuk Seri Rina Harun, Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat semalam melancarkan Skuad Waja (Wanita Anti Jenayah) bertempat di Kip Mall, Kota Warisan.
Skuad Waja adalah sukarelawan di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang berperanan sebagai ejen serta mata dan telinga kerajaan dalam masyarakat terutamanya bagi golongan yang sering menjadi mangsa keganasan.
“Penubuhan Skuad Waja akan menjadi tunjang kekuatan baharu KPWKM dalam menjayakan agenda pemerkasaan Keluarga Malaysia seperti yang dihasratkan oleh YAB Perdana menteri menerusi Fokus Keenam Rancangan Malaysia ke-12,” katanya semalam.
“Penubuhan Skuad Waja diumumkan oleh mantan Perdana Menteri pada 8 Mac 2021 semasa ucapan Sambutan Hari Wanita 2021 yang diadakan secara maya.
“Peranan Skuad Waja dalam komuniti terutamanya dalam tempoh pendemik ini adalah sangat bermakna dan banyak membantu komuniti,” katanya.
Menurutnya lagi, pelancaran Skuad Waja membuktikan bahawa usahasama Kerajaan dengan komuniti dalam menangani isu keganasan terhadap wanita adalah tanggungjawab bersama merupakan dan amanah yang perlu dikongsi seluruh ahli masyarakat.
Skuad ini ditubuhkan bagi memperkasakan komuniti melalui psikososial dan aktiviti bimbingan bagi meningkatkan kesedaran tentang isu-isu jenayah.
Sehingga 12 Oktober 2021, sebanyak 775 kes telah berjaya dibimbing dan dibantu oleh ahli Skuad Waja serta 262 program turun padang telah dilaksanakan melibatkan 3,537 individu yang disantuni.
Bermula dari Januari sehingga Oktober 2021, seramai 20,406 ahli Skuad Waja telah berjaya dilatih di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
-RI