Laporan/foto: Suzaima Ibrahim (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Syarikat perkhidmatan kurier dan penghantaran barang dilihat terus aktif memberi perkhidmatan terbaik walaupun kerajaan negeri telah mengumumkan kebenaran merentas daerah bermula 14 Oktober lalu.
Salah seorang pengendali syarikat kurier Hafizullah Ahmad, berkata idea memulakan perkhidmatan penghantaran barang ekspres berkenaan timbul bagi menampung pendapatannya yang sebelum ini merupakan operator bas ekspres sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
“Sejak dua tahun lalu, perkhidmatan bas kurang mendapat sambutan kerana pelaksanaan sekatan rentas daerah oleh pihak kerajaan, jadi saya terfikir alternatif lain iaitu mewujudkan perkhidmatan penghantaran barang bagi menggantikan perkhidmatan bas ekspres.
“Pergerakan yang terhad menyebabkan orang ramai memilih perkhidmatan ini untuk menghantar barang ke kampung halaman masing-masing, ini sekurang-kurangnya dapat menganti diri mengubat rindu kepada keluarga di kampung atau anak-anak di bandar.
“Antara barangan yang dihantar adalah seperti barangan dapur, dokumen, perabot, barangan tekstile, peralatan elektrik, makanan dan minuman, barangan pertukangan serta pembinaan,” jelasnya.
Menyedari hakikat persaingan perkhidmatan penghantaran barangan semakin sengit, Hafizullah berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah berhati-hati ketika menghantar barangan pelanggan serta memberikan perkhidmatan sebaik mungkin.
“Pihak kami sentiasa menjaga mutu perkhidmatan supaya pelanggan percaya dengan perkhidmatan yang kami berikan.
“Setakat ini tiada sebarang aduan serius yang diterima kecuali permasalahan penerimaan barang yang agak sedikit lewat disebabkan masalah teknikal luar jangka seperti kerosakan kenderaan semasa dalam perjalanan.
“Sekiranya berlaku kelewatan seperti itu, pihak kami akan maklumkan kepada pelanggan secepat mungkin supaya mereka tidak tertunggu-tunggu,” jelasnya.
Menurut Hafizullah, pada masa ini, pihaknya membuat penghantaran barangan sekitar daerah Ranau, Papar, Kimanis, Keningau, Sook, Kota Marudu dan Tenom.
-RI