
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 12 Dis (Malaysiaaktif) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan hasil pungutan zakat berjumlah lebih RM585.21juta sehingga bulan Oktober pada tahun ini.
Menurut Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, hasil itu digunakan untuk pelbagai jenis agihan antaranya dengan menawarkan 30 skim bantuan khusus untuk asnaf yang berada di Wilayah Persekutuan terdiri dari pelbagai aspek antaranya bantuan ekonomi, perubatan, pendidikan dan lain-lain lagi.
“Melalui skim-skim bantuan inilah pihak MAIWP dapat membantu lebih ramai golongan asnaf sekaligus dapat membangunkan taraf ekonomi umat Islam khususnya yang berada di Wilayah Persekutuan di tengah-tengah waktu darurat pandemik ini,” katanya yang ditemui sempena Mesyuarat Majlis Pengurusan Zakat Negeri-Negeri di sebuah hotel, di sini semalam.

Dr. Mohd Daud (empat dari kanan) bersama Saidin Salim (tiga dari kanan) semasa majlis penyampaian rumah bantuan MAIWP.
Tambahnya, sistem semakan permohonan agihan zakat antara negeri- negeri akan diwujudkan bagi mengatasi masalah pertindihan penerima bantuan zakat antara Majlis Agama Islam Negeri- Negeri (MAIN).
“Pembangunan sistem ini nanti akan diketuai oleh Majlis Agama Islam Terengganu (MAIDAM), terima kasih MAIDAM atas usaha penambahbaikan ini yang saya kira ianya akan menjadi satu usaha yang sangat baik bagi melicinkan lagi gerak kerja aktiviti pengurusan zakat di seluruh negeri, kerjasama strategik sebegini menunjukkan kebersamaan kita dalam menguruskan zakat.
“Sekalung penghargaan dan tahniah saya ucapkan kepada semua Majlis Agama Islam Negeri-negeri kerana telah mengambil langkah proaktif bagi menangani impak COVID-19 kepada golongan asnaf dengan menyediakan pelbagai inisiatif dan bantuan khas zakat COVID-19,” jelasnya.

Mardiah Talip (paling kiri) menerima bantuan daripada MAIWP Labuan yang disampaikan sendiri oleh Dr. Mohd Daud.
Sebelum majlis tersebut, beliau turut berkesempatan menyampaikan bantuan sebuah mesin oksigen bernilai RM4,100.00 melalui Skim Bantuan Peralatan Kesihatan dan bantuan keperluan diri (lampin pakai buang) bernilai RM4,608.00 melalui Skim Bantuan Perubatan Am kepada Mardiah Talip, 57.
Selain itu, seorang lagi penerima Saidin Salim, 61, menerima sebuah rumah bantuan MAIWP bernilai RM70,000.00.
-RI