
Oleh Anita Omar, Hasmah Hanafi & Muhamad Azrul Abdullah (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Pada satu masa dahulu Sungai Kerian tidak kurang terkenal dengan udang galahnya. Bagaimana pun, tahun demi tahun hingga sekarang disebabkan pelbagai faktor, populasi udang galah semakin berkurangan.
Sehubungan itu, hari ini sebanyak 50 ribu benih udang galah dilepaskan di Sungai Kerian bagi memanfaatkan kesesuaiannya untuk penternakan udang galah secara semula jadi.
Pelepasan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Rumah Pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sungai Kechil Ulu itu mengambil sempena lawatan beliau ke daerah Bandar Baharu.
Dalam ucapannya, Tajuddin berkata air Sungai Kerian dengan kandungan mineral yang tinggi berpotensi untuk merealisasikan usaha berkenaan dan sekali gus membantu menjana pendapatan penduduk, selain menjadi tarikan kaki pancing udang galah dan hidupan air tawar yang lain.
Beliau menasihatkan golongan petani dan nelayan supaya tidak terperangkap dalam zon selesa dan sebaliknya berusaha untuk merubah sikap bagi meraih kejayaan. Beliau juga menasihatkan nelayan supaya menjual sendiri hasil tangkapan dan mempelbagaikan produk, termasuk dalam pembuatan keropok ikan, ikan kering dan lain-lain supaya lebih berdaya sing.
Tajuddin turut meluluskan peruntukan sebanyak RM200 ribu untuk membina sebuah jeti nelayan di Sungai Kecil Ulu bagi kemudahan nelayan sungai di sini.