Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Penjawat Awam Perlu Berkhidmat dengan Ikhlas

By 13 Januari 2022Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Semangat ingin bertugas dan menyumbang bakti dengan tulus ikhlas kepada rakyat perlu sentiasa terpahat dan subur dalam jiwa semua penjawat awam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Pada perhimpunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terakhirnya hari ini yang berlangsung secara maya sebelum bersara wajib pada 16 Jan ini, Mohd Khairul Adib berkata ketika beliau mengambil keputusan menyertai perkhidmatan awam kira-kira 34 tahun lalu, tersemat niat dan tekad di jiwanya untuk menabur khidmat bakti tanpa rasa bimbang atau pilih kasih demi agama, bangsa dan negara.

Beliau yang mula menyertai perkhidmatan awam pada 12 Januari 1988 berkata generasi seusianya dalam perkhidmatan awam semakin sedikit bilangannya, namun legasi dan semangat untuk berbakti perlu diteruskan oleh generasi penjawat awam masa kini.

“Kita tidak mahu melihat generasi muda penjawat awam lebih mementingkan kemudahan yang mereka terima daripada sumbangan yang mereka berikan,” katanya sambil menambah semangat untuk berkhidmat dengan ikhlas boleh direalisasikan dengan usaha yang berterusan bagi menambah baik perkhidmatan yang diberikan.

Mohd Khairul Adib yang dilantik sebagai KPPA pada 1 Oktober 2019 berkata beliau sering mengingatkan pegawai-pegawai JPA agar sentiasa berusaha untuk meningkatkan nilai kepada kerja harian.

“Walaupun kita laksanakan dalam skop yang kecil, tetapi apabila ramai daripada kita yang berbuat demikian, kesannya tentu akan menjadi besar dan dapat dirasakan oleh pihak yang menerima perkhidmatan tersebut,” katanya.

Mengimbau ketika baru menyandang jawatan tersebut, Mohd Khairul Adib berkata beliau memberi keutamaan kepada tiga perkara iaitu kepantasan, profesionalisme dan integriti.

“Saya percaya bahawa jika setiap individu penjawat awam dapat melaksanakan kerja dengan pantas dan cekap, bersikap profesional dan berintegriti, perkhidmatan akan menjadi efisien seterusnya menyumbang kepada negara yang membangun, maju dan makmur,” katanya.

Pada perjumpaan itu, Mohd Khairul Adib mengingatkan bahawa JPA sebagai agensi pusat yang diamanahkan berkaitan pengurusan sumber manusia perkhidmatan awam, wajib menerajui dan menggerakkan pembaharuan dengan berani untuk ia kekal relevan sepanjang masa.

“Jika kita masih ragu-ragu untuk bergerak ke hadapan, serta tidak berani melakukan perubahan selaras dengan perkembangan global yang begitu pesat dan dinamik, dikhuatiri JPA tidak lagi menjadi relevan sebagai peneraju dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Menyentuh bagaimana beliau melihat persaraannya, Mohd Khairul Adib berkata secara asasnya, persaraan adalah pengakhiran bagi sesuatu dan permulaan kepada sesuatu yang lain dengan memetik pepatah Inggeris retire from work, but not from life (bersara daripada kerja tetapi bukan daripada kehidupan).

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Dasar Pembangunan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam (DPSM) yang merupakan penambahbaikan kepada Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam (DLSA) yang diperkenalkan pada 2005.

DPSM bertujuan membangunkan kompetensi dalam kalangan pegawai awam supaya bersedia menghadapi cabaran serta memenuhi keperluan semasa dan akan datang.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda